BAGAIMANAKAH cara hidup yang
diamalkan Rasulullah saw yang perlu kita sebagai umat Islam
contohi? Mencontohi Baginda bukan sekadar serpihan, tetapi perlu dalam
semua aspek kehidupan kita. Bukan bermakna Nabi saw terhindar daripada
penyakit, tetapi Baginda sebenarnya hanya pernah sakit beberapa kali sahaja.
Rasulullah saw sentiasa berada dalam
keadaan sihat walaupun menggalas tugas yang berat dan mencabar. Perhatikan
perbezaan dengan diri kita yang menghidap pelbagai penyakit serta penderitaan.
Badan kita sihat, tetapi kebanyakannya hati berpenyakit (maaf). Antara beberapa
cara hidup sihat yang Baginda amalkan adalah:-
1. Selalu bangun sebelum Subuh.
Rasulullah mengajak umatnya untuk
bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh
secara berjemaah. Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat
limpahan pahala, kesegaran udara pada waktu subuh yang baik terutama untuk
merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.
2. Menitikberatkan tatacara menjaga
kebersihan.
Rasulullah sentiasa bersih dan rapi.
Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku,
bersikat serta memakai minyak wangi. Sabda Baginda yang bermaksud:
“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat
dituntut bagi setiap orang dewasa, demikian pula menggosok gigi dan memakai
harum-haruman.”(Hadis riwayat
Muslim)
3. Tidak pernah makan berlebihan.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum
lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)
Dalam tubuh manusia ada tiga ruang
untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga
lainnya untuk makanan.
Salah satu sumber penyakit adalah
datangnya dari perut (makanan). Amalan pemakanan yang tidak betul dan
berlebihan boleh meningkatkan kadar kolesterol dan boleh memudharatkan tubuh
kita. Galakan berpuasa merupakan suatu bentuk terapi yang boleh
mengistirehatkan perut disamping menyihatkan tubuh badan kita.
4. Gemar berjalan kaki.
Rasulullah saw berjalan kaki ke
masjid, pasar dan mengunjungi rumah-rumah sahabat. Apabila berjalan kaki,
peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan dengan lancar.
Ini penting untuk mencegah penyakit
jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau
mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang
hendak kita pergi.
5. Tidak pernah iri hati.
Bagi menjaga kestabilan hati dan
kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati.
Banyakkanlah berdoa: “Ya Allah, bersihkanlah
hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat
mahmudah.”
6. Tidak pemarah.
Nasihat Rasulullah ‘JANGAN MARAH’ diulangi sampai tiga kali. Ini
menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad
sahaja tetapi merangkumi juga kebersihan jiwa.
Ada terapi yang tepat untuk
menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri
maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring.
Kemudian membaca Ta’awwudz kerana
marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi
mendapat ketenangan serta menghilangkan gundah di hati.
7. Pemaaf.
Pemaaf adalah sifat yang sangat
dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan
diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan.
Sekiranya kita marah, maka marah itu
melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan
sihat.
Bahagia sebenarnya bukan mendapat
tetapi dengan memberi. Sebenarnya, banyak lagi cara hidup sihat Rasulullah saw,
Insya-Allah akan dikupas pada masa-masa yang mendatang.
DISEDIAKAN OLEH: UNIT HAL EHWAL ISLAM, HOSPITAL
SUNGAI BULOH



No comments:
Post a Comment